JOHOR BAHRU - Sebanyak 70 koperasi di Johor dibatalkan sepanjang tahun lalu kerana tidak menjalankan aktiviti perniagaan serta gagal memenuhi keperluan mesyuarat agung dan laporan kewangan.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor, Mahzan Noordin berkata, tindakan tegas diambil terhadap koperasi dormant yang tidak mengadakan mesyuarat agung dan gagal mengemukakan penyata kewangan selama tiga tahun berturut-turut.
"Koperasi yang tidak aktif pula, iaitu yang tidak memenuhi syarat mesyuarat agung dan laporan kewangan kurang daripada tiga tahun, akan diberi peluang untuk dipulihkan.
"Kami akan bantu dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memastikan koperasi ini dapat kembali beroperasi,” katanya ketika ditemui di Program Ramah Mesra Bersama Gerakan Koperasi Johor dan Media pada Khamis.
Menurut Mahzan, setakat ini Johor mempunyai 1,458 koperasi dengan keanggotaan hampir 863,000 ahli, namun hanya 800 koperasi aktif, manakala selebihnya berada dalam kategori tidak aktif atau dormant.
"Punca utama koperasi menjadi dormant atau tidak aktif adalah kerana tiada aktiviti perniagaan.
"Oleh itu, kami mengadakan Majlis Perlindungan Koperasi Negeri dengan melibatkan agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA Berhad (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
"Inisiatif ini bertujuan membantu koperasi menjana semula aktiviti perniagaan agar kekal berdaya saing,” katanya.
Tambah beliau, setiap koperasi diwajibkan mengadakan mesyuarat agung tidak lewat enam bulan selepas berakhirnya penyata kewangan tahunan.
Menurut Mahzan, SKM boleh memberikan penangguhan, tetapi sekiranya koperasi masih gagal mematuhi syarat, tindakan denda sebanyak RM1,000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan lebih ramai masyarakat menubuhkan koperasi kerana ia menawarkan pelbagai manfaat, termasuk pengecualian cukai selama lima tahun pertama selepas penubuhan dan potongan cukai bagi modal kurang daripada RM750,000 selepas tahun keenam.
"Tahun lalu sahaja, 38 koperasi baharu ditubuhkan dan SKM menyasarkan setiap komuniti, termasuk keluarga, taman perumahan, serta masjid, menubuhkan koperasi sendiri.
"Koperasi ini berkonsepkan komuniti yang lebih mudah ditadbir secara setempat. Kami juga menawarkan pinjaman sehingga RM650,000 untuk koperasi yang ingin menjalankan projek pertanian atau perniagaan lain.
"Saya berharap lebih ramai rakyat Johor menyertai sektor koperasi kerana ia mampu membantu ekonomi komuniti serta menggalakkan perniagaan secara berjemaah,” katanya.