Kenyataan PM tentang Sapura Energy cetus lebih banyak persoalan - Syahir

Iklan
Mohd Syahir Mohd Syahir
Mohd Syahir

SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penjelasan rasmi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berhubung pakej penyelamatan Sapura Energy Berhad (SEB) berjumlah RM1.1 bilion dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan dari aspek keutamaan, ketelusan dan tatakelola.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, beliau tertanya-tanya sama ada pakej penyelamatan dalam bentuk pelaburan strategik dan pinjaman khas berjumlah RM1.1 bilion mendapat persetujuan Jemaah Menteri atau ia terletak di bawah autoriti Kementerian Kewangan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Adakah pakej penyelamatan berjumlah RM1.1 bilion ini melibatkan penyaluran wang pembayar cukai (dana awam) yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 seperti yang telah diluluskan di Parlimen?

"Adakah audit forensik dan kajian ‘due diligence’ menyeluruh telah dijalankan pihak Kementerian Kewangan mahupun PNB sebagai pelabur terhadap Sapura Energy Berhad sebagai penerima pelaburan?" katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Anwar pada Khamis menegaskan suntikan dana itu bukan satu bentuk 'bailout', sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan dan perlu dibayar balik.

Jelasnya, dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat itu.

Iklan

Justeru, Mohd Syahir mempersoalkan tentang perincian berkaitan juruaudit bebas yang dilantik, berserta tarikh dan skop pelantikannya.

"Apakah bentuk jaminan diberikan pemegang saham, ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Sapura Energy terhadap komitmen serta pematuhan segala syarat termaktub dalam perjanjian pelaburan dan pinjaman berjumlah RM1.1 bilion yang telah dipersetujui?" katanya.

Beliau mencadangkan agar perkara bersifat mustahak dan berkepentingan awam melibatkan wang pembayar cukai dirujuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Ia bagi membolehkan PAC memeriksa, meneliti dan menilai secara bebas serta menyeluruh.

"Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), iaitu Lembaga Pemegang Amanah kepada PNB sebagai pemegang saham terbesar Sapura Energy, perlu menjawab dengan tuntas persoalan tersebut," tambahnya.