NEW YORK - Puluhan orang mengadakan demonstrasi di dalam Menara Trump di New York bagi membantah penahanan dan rancangan pengusiran Mahmoud Khalil, seorang pelajar Palestin yang memainkan peranan utama dalam protes pro-Gaza di kampus Universiti Columbia tahun lalu.
Jewish Voice for Peace, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak rakyat Palestin berkata di media sosial:"Polis menahan ratusan penunjuk perasaan termasuk warga Yahudi, keturunan mangsa Holocaust dan pelajar, sambil menyeret mereka keluar daripada protes duduk di Menara Trump dengan memegang tangan dan kaki mereka."
Penunjuk perasaan menuntut antara lain pembebasan Khalil, seperti yang dapat dilihat melalui penstriman langsung serta gambar yang disiarkan di media sosial.
Jabatan Polis New York (NYPD) berkata kira-kira 150 orang berpakaian biasa memasuki bangunan itu pada pagi Khamis, sebelum menanggalkan pakaian luar mereka untuk mendedahkan kemeja-T merah dengan slogan pro-Palestin.
"Kami akhirnya membuat 98 tangkapan terhadap individu yang menceroboh dan menghalang pentadbiran kerajaan di bangunan ini," kata Ketua Jabatan NYPD John Chell.
Sebuah mahkamah pada awalnya menghalang pengusiran Khalil bagi memberi masa untuk keputusan dibuat, menurut laporan media.
Khalil, yang menurut New York Times berkahwin dengan warga negara AS yang sedang hamil lapan bulan dan memiliki permit kediaman AS tanpa had, kata peguamnya. - Bernama