PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Jumaat selepas enam jam berada di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sesi rakaman keterangan Ismail Sabri bagi hari ini tamat pada petang ini tetapi akan disambung semula pada Isnin depan.
"Kami menangguhkannya sehingga Isnin kerana beliau mempunyai program yang dijadualkan di Bera, Pahang.
"Beliau memberikan kerjasama kepada pegawai yang merekodkan keterangan, namun saya tidak dapat mendedahkan kandungan keterangannya," katanya pada Jumaat.
Terdahulu, kenderaan membawa Ismail Sabri dilihat keluar kira-kira jam 5.42 petang sambil diiringi kenderaan pengiring polis.
Bekas Perdana Menteri itu hadir kira-kira jam 8.46 pagi dalam keadaan tenang bagi proses rakaman keterangan yang memasuki hari kedua.
Ismail Sabri hadir bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Beliau sebelum ini telah mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dijalankan.
Pengisytiharan itu dibuat pada 10 Februari lalu selepas diarahkan oleh suruhanjaya berkenaan.