KOTA KINABALU - Sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada peniaga selepas didapati gagal mematuhi peraturan dalam mengendali makanan ketika berniaga di bazar Ramadan menerusi Ops Bazar Ramadan yang dilaksanakan sepanjang bulan ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman berkata, setakat ini sebanyak 1,152 premis telah diperiksa iaitu melibatkan 17 daerah di seluruh negeri.
Katanya, seramai 2,393 pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa dan seramai 2,325 atau 97.2 peratus orang didapati memiliki suntikan, 2,328 atau 97.3 peratus telah mendapat latihan pengendali makanan.
"Namun hasil pemeriksaan itu juga terdapat peniaga turut dikenakan tindakan kompaun dengan nilai RM5,200 melibatkan 34 notis.
"Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada sijil latihan pengendali makanan sebanyak 11 kesalahan dan berkaitan suntikan anti tifoid melibatkan lima kesalahan.
"Selain itu, kompaun tersebut turut melibatkan pakaian pengendali makanan iaitu sebanyak 16 kesalahan. Kesalahan yang ditemui termasuk memakai aksesori seperti cincin, gelang ataupun pin di mana ia adalah tidak dibenarkan kerana boleh menjadi media untuk bakteria yang berada dalam aksesori dan menyebabkan jangkitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas tinjauan mesra di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, di sini pada Jumaat.
Menurut Maria lagi, kesemua notis dan kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kesalahan Peraturan 33 (kebersihan diri pengendali makanan) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika disabit kesalahan.
Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan sarung tangan oleh pengendali makanan di bazar, beliau memaklumkan tiada kesalahan mengenainya namun mereka digalakkan untuk tidak menggunakannya secara berulang dan perlu mengganti yang baharu bagi mengelak berlaku pencemaran.