BAGAN SERAI - Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kini di peringkat akhir perancangan sebelum dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut bertujuan menambah keupayaan Sungai Perak untuk membekalkan air ke Tasik Bukit Merah.
Menurutnya, daripada Tasik Bukit Merah itu, air dapat disalurkan ke kawasan yang baru dibangunkan iaitu Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP)
"Bukan sahaja KIGIP iaitu kawasan pembangunan baru kita, tapi juga seluruh daerah Kerian ini.
"Daripada situ sampailah ke Seberang Perai, Sungai Bakap, Cheruk Tok Kun, jadi bekalan air untuk Pulau Pinang jasa baik orang Perak," katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Dato' Alauddin, Selinsing di sini pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada 15 Jun lalu, Anwar pada Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP mengumumkan Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan dianggarkan RM4 billion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.
Projek ini dijadikan keutamaan untuk rakyat Utara Perak dan Seberang Perai kerana ia adalah penyelesaian masalah air jangka masa yang panjang.
Berdasarkan kajian yang dijalankan menunjukkan keupayaan dari Sungai Perak mencecah hingga 1,500 juta liter sehari, sekaligus memenuhi keperluan di Utara Perak dan Pulau Pinang.
Projek bernilai RM4 bilion itu dikendali melalui kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby, SD Guthrie Berhad dan Kerajaan Negeri Perak.