Naik kadar konsultasi GP swasta ke RM60, elak klinik ditutup - MMA

Iklan
Kalwinder Kalwinder
Kalwinder

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menaikkan kadar bayaran rundingan bagi pengamal perubatan am (GP) swasta kepada sekurang-kurangnya RM60 selaras dengan semakan yang sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata pihaknya menyokong usaha kementerian yang sedang mengkaji semula kadar tersebut di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (PHFSA 1998).

Iklan
Iklan

*"Kami percaya kenaikan kepada minimum RM60 adalah jumlah yang sesuai dan adil, manakala had maksimum boleh ditentukan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Kami merasakan ini wajar, memandangkan bayaran konsultasi yang ditetapkan sebelum ini antara RM10 hingga RM35 tidak berubah sejak lebih 33 tahun, meskipun kos operasi dan inflasi meningkat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, KKM memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan bersama DOSM bagi menentukan bayaran perundingan GP swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia merupakan semakan bayaran perundingan di bawah Jadual 7 Akta 586 yang seharusnya dikemas kini bersama Jadual 13, yang telah dilaksanakan pada penggal pertama 2019.

Iklan

Dalam pada itu, Kalwinder turut mencadangkan agar kadar bayaran tersebut diselaraskan secara berkala setiap tiga tahun dengan kenaikan sebanyak 10 peratus bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan ekonomi semasa.

Jelasnya, banyak GP swasta menghadapi cabaran kewangan ekoran kos tinggi bagi menampung perbelanjaan seperti sewa premis, gaji pekerja, peralatan, dan ubat-ubatan.

*"Banyak klinik terpaksa ditutup kerana tidak lagi mampu menampung kos yang semakin meningkat.

"Kami berharap jumlah yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti, dengan mengambil kira faktor seperti kos sara hidup dan pandangan masyarakat, adalah adil kepada GP dan situasi mereka pada masa ini," ujarnya.