KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan mengurangkan kadar caruman minimum berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sebanyak empat peratus akan memberi kesan kepada ahli yang berumur di bawah 60 tahun.
Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, untuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, bahagian caruman pekerja kekal pada kadar sifar peratus.
Iklan
Iklan
"Pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman bahagian pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.
"Notis itu perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP,” katanya.
Pengurangan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global koronavirus (Covid-19). Kadar baharu itu akan berkuat kuasa 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.
Pakej rangsangan ekonomi itu dilancarkan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini. - Bernama
Artikel Berkaitan