Bersatu pertikai SPRM masih beku akaun

Iklan
Tun Faisal ketika ditemui pemberita selepas Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai Tun Faisal ketika ditemui pemberita selepas Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai
Tun Faisal ketika ditemui pemberita selepas Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai

NILAI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih membekukan akaun parti itu meskipun sudah lebih setahun tanpa sebarang pendakwaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mengikut peruntukan undang-undang, jika tiada pendakwaan dalam tempoh setahun, pembekuan akaun sepatutnya terbatal secara automatik.

Iklan
Iklan

"Saya pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa individu yang dikenakan tindakan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jika SPRM mengambil tindakan menyita atau menyekat akaun beliau, itu adalah wajar.

"Namun, akaun parti yang disekat, sedangkan selepas setahun tiada sebarang pertuduhan atau usaha kerajaan untuk merampas dana tersebut, sepatutnya sekatan berkenaan gugur dengan sendirinya. Malangnya, perkara ini tidak dipatuhi oleh SPRM dan kerajaan," katanya.

Iklan
Tun Faisal (tengah) melihat baju Melayu yang dipilih salah seorang penerima bantuan daripada Bersatu pada Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai. Tun Faisal (tengah) melihat baju Melayu yang dipilih salah seorang penerima bantuan daripada Bersatu pada Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai.
Tun Faisal (tengah) melihat baju Melayu yang dipilih salah seorang penerima bantuan daripada Bersatu pada Program Membeli Baju Rayas Asnaf di Nilai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Membeli-belah Baju Raya Asnaf di sini pada Jumaat.

Tambahnya, sekiranya hasil siasatan mendapati Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan membekukan akaun parti itu perlu dihentikan.

Iklan

Tun Faisal turut mempersoalkan keadilan SPRM dalam menjalankan siasatan terhadap parti pembangkang yang didakwanya seolah-olah berat sebelah.

"Undang-undang harus dipatuhi dan keadilan perlu diberikan kepada semua pihak tanpa mengira mereka dari pembangkang atau kerajaan.

"Namun, apa yang kita lihat sekarang, pihak kerajaan tidak menghadapi sebarang masalah, manakala pembangkang dikenakan pelbagai tekanan. Ini menunjukkan seolah-olah berlaku sikap berat sebelah," katanya.

Tun Faisal berkata, SPRM boleh kehilangan kewibawaan dan integriti sekiranya tidak berlaku adil, termasuk dalam kes pembekuan akaun Bersatu ini.

Media pada Januari 2023 melaporkan bahawa SPRM telah membekukan dua akaun milik Bersatu.

Sitaan dibuat setelah SPRM mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.