KAMPALA - Kementerian Kesihatan Uganda mengesahkan pada Jumaat wabak demam berdarah Crimean-Congo (CCHF) di Daerah Kyegegwa, wilayah barat negara itu, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan kementerian itu, keputusan makmal terhadap sampel yang diambil daripada seorang lelaki berusia 28 tahun dari Perkampungan Kazizi di sub-daerah Kyatega, yang kini diasingkan di Pusat Kesihatan Bujubuli, disahkan positif demam berkenaan.
Iklan
Iklan
Pesakit mengalami pendarahan hidung berlebihan, sakit kepala dan tubuh yang lemah pada 28 Februari sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan kemudiannya merujuk dirinya sendiri ke Pusat Kesihatan Bujubuli pada 7 Mac.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa dua lagi kes yang disyaki telah dimasukkan ke unit pengasingan di pusat kesihatan berkenaan.
Kementerian memaklumkan bahawa petugas kesihatan sedang giat menjalankan pengesanan kes secara aktif serta mengesan kontak rapat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CCHF adalah penyakit bawaan kutu yang boleh menular kepada manusia melalui gigitan kutu. Ia juga boleh merebak antara manusia melalui sentuhan langsung dengan darah atau cecair badan individu yang dijangkiti. Demam ini, yang endemik di Afrika, Balkan dan Timur Tengah, dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi iaitu antara 10 hingga 40 peratus. - Bernama