Perang dagangan, tarif, sekatan jadi senjata dominasi global - Anwar

Iklan
Anwar - Foto: Bernama Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perang perdagangan, tarif dan sekatan telah berubah daripada sekadar alat ekonomi kepada senjata dalam perjuangan lebih luas untuk dominasi, sekali gus memupuk sentimen curiga dan ketidakpercayaan yang menjejaskan asas kerjasama antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, negara-negara yang selama ini melihat negara lain sebagai rakan atau pesaing dalam pasaran global kini hanya menganggap mereka sebagai lawan atau proksi dalam persaingan pengaruh dan dominasi global.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengganggu ekonomi, teknologi dan perikatan di seluruh dunia, negara-negara kecil dan sederhana sering kali terpaksa memilih pihak tertentu atau berisiko menjadi alat dalam permainan geopolitik yang lebih besar.

"Berikutan Order Baharu Dunia yang sedang terbentuk, kita juga harus sedar cabaran yang semakin meningkat dihadapi negara-negara di seluruh Global South.

Iklan

"Banyak mekanisme yang pernah mendorong perkembangan mereka semakin lemah, manakala konsep bantuan pembangunan semakin mendapat perhatian tinggi daripada beberapa negara paling berkuasa di dunia.

"Kebergantungan ekonomi, yang suatu ketika dahulu menjadi asas kemakmuran global, kini telah menjadi sumber ketegangan.

Iklan

"Sekiranya trend ini berterusan, kesalinghubungan ini akhirnya menjadi rentan, malah bagi negara yang telah lama berkembang maju menerusi globalisasi," kata Anwar dalam komentar bertajuk The Global South Path's to Economic Resilience yang diterbitkan di laman web Project Syndicate hari ini.

Projek Syndicate adalah organisasi media antarabangsa tidak berasaskan keuntungan yang menerbitkan komentar dan analisis mengenai pelbagai topik global dalam kalangan cendekiawan, pembuat dasar dan aktivis sivik terkemuka di dunia.

Sementara itu, Anwar berkata, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia mengakui cabaran mengenai ketidakpastian dan perlindungan justeru menjadikannya aspek penting untuk negara kekal menyesuaikan diri dan mempunyai keinginan tinggi.

"Bagaimanapun, kami tidak akan mengabaikan matlamat utama kami: pertumbuhan yang mampan, inklusif dan adil. Kami juga bertekad untuk memperteguh kedudukan sebagai pusat penting bagi perdagangan, pelaburan dan inovasi teknologi," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, sehubungan itu Malaysia membuat keputusan strategik untuk menyertai BRICS yang terdiri daripada ekonomi utama yang pesat membangun.

Beliau berkata, usaha untuk menjadi anggota BRICS meningkatkan hasrat untuk mengecilkan jurang perbezaan pembangunan antara Global South dan Global North.

"Tidak senada dengan dakwaan beberapa penganalisis, keputusan kami bukan mengenai memilih sesuatu pihak dalam persaingan Sino-Amerika. Sebaliknya, ia mencerminkan pemahaman yang jelas mengenai landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin berubah yang kami terlibat.

"Dengan mengadakan penglibatan dengan blok kuasa saingan dan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi berdaya maju, kuasa pertengahan seperti Malaysia dapat membuka laluan kepada keamanan dan kemakmuran yang berkekalan untuk rakyatnya di Global South.

"Bagi kami, ini tetap menjadi matlamat yang kritikal dan keutamaan segera," kata Anwar. - Bernama