KUALA LUMPUR – Kucing tulap atau nama saintifiknya, Asian Golden Cat berdepan ancaman kepupusan apabila daging, tulang dan taringnya menjadi habuan untuk hidangan eksotik mahu pun barang perhiasan.
Spesies yang diletakkan dalam senarai hampir terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) ini juga menjadi mangsa pemburuan haram atas alasan dan kepercayaan kononnya beberapa anggota badannya boleh dijadikan sebagai ubatan.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, faktor yang menyumbang kepupusan spesies ini ialah habitat yang semakin kecil serta jenayah pemburuan haram.


Katanya, jerat dawai yang biasa dipasang pemburu kebiasaan mempunyai sasaran spesies seperti kijang, rusa dan harimau.
"Kucing tulap jarang menjadi sasaran tetapi sering menjadi mangsa jerat.
"Berdasarkan rakaman perangkap kamera (camera trap), kita dapati ada spesies kucing ini yang cacat dan hanya memiliki tiga kaki akibat terkena jerat. Bila kucing ini terjerat, ia akan cuba melepaskan diri sehingga kakinya putus.
"Bukan sahaja kucing tulap, ‘camera trap’ juga ada kesan harimau kumbang dan harimau belang yang juga tiga kaki kerana mangsa jerat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurut beliau, apabila berlaku kecacatan sebegitu, kucing tulap sukar hendak bertahan lama kerana sukar hendak mencari sumber makanan.
Jelasnya, statistik bagi tempoh dua tahun iaitu 2023 dan 2024 merekodkan nilai rampasan RM16,000 berkaitan kucing tulap.
Kata Abdul Kadir, pada tahun 2023, pihaknya berjaya merampas daging kucing tulap bernilai RM8,000 yang dipercayai menjadi hidangan eksotik.
"Saya yakin jika daging, ia untuk dimakan oleh penggemar makanan eksotik khususnya warga tempatan.
"Daging ini hanya akan dihidangkan kepada pelanggan apabila ada permintaan. Bila ada yang tempah barulah ia dihantar dari lokasi lain dan siap dimasak. Ia bukan saja libatkan daging kucing tulap, tetapi daging harimau,” ujarnya.
Tambahnya, daging ini tidak disimpan di premis restoran kerana pemiliknya sentiasa berhati-hati.
Abdul Kadir berkata, bagi tahun lepas pula, pihaknya merampas gigi, kuku dan lidah bernilai RM8,000 yang disyaki dijadikan sebagai barangan perhiasan seperti rantai serta barangan bagi kepercayaan tertentu seperti tangkal.
"Kita juga percaya lidah kucing ini dijadikan ubatan serta untuk hidangan makanan,” katanya.
Beliau memberitahu, semua rampasan ini disahkan kucing tulap hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan di makmal forensik Jabatan Perhilitan.
Libat sindiket
Dedah beliau, harga pasaran gelap bagi seekor kucing tulap dewasa ialah RM8,000.
"Harga ini akan berubah jika jumlahnya semakin berkurang.
"Apa sahaja yang melibatkan binatang liar sudah pasti membabitkan sindiket. Pasarannya dipercayai dalam negara dan kita tidak tolak kemungkinan ada juga diseludup ke luar negara.
"Setakat ini tiada kes spesies ini ditemui sebagai haiwan peliharaan, tetapi tidak tolak kemungkinan antara binatang liar yang orang mahukan,” ujarnya.
Kata beliau, spesies ini amat sukar dikesan perangkap kamera yang dipasang Jabatan Perhilitan dan berdasarkan situasi sekarang dipercayai populasinya menurun.
"Kucing tulap penting dalam ekosistem hutan kerana ia merupakan pemangsa dalam rantaian makanan.
"Setakat ini tiada rekod kucing tulap menyerang manusia. Jika habitat semakin terhakis kita tidak tolak kemungkinan spesies ini akan mula keluar ke kawasan penempatan manusia,” katanya.
Tegas Abdul Kadir, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram dan jenayah hidupan liar.
"Hentikan aktiviti itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)
"Walaupun banyak laporan media dilaporkan, masih ada juga yang tidak mematuhi peraturan ini.
"Saya percaya rakyat Malaysia ada kesedaran konservasi hidupan liar, namun segelintir masih lakukan jenayah ini untuk mendapat keuntungan haram,” katanya.
Ciri-ciri kucing tulap
- Warna coklat kemerahan dan mukanya berjalur
- Bersaiz dua kali lebih besar daripada kucing rumah
- Terdapat di Semenanjung Malaysia, Tibet, timur Himalaya ke Selatan China, Nepal, Myanmar, Indochina dan Indonesia (Sumatera).
- Sumber makanan seperti tikus, burung dan serangga
- Jangka hayat sehingga 20 tahun
- Aktif memburu waktu malam
- 1 hingga 2 ekor anak dilahirkan pada satu masa.
- Pemangsa yang memainkan peranan mengawal populasi haiwan kecil seperti tikus dan burung.
Tindakan undang-undang
Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
- Sabit kesalahan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
- Sabit kesalahan denda tidak kurang RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.
Saluran aduan
Hotline Jabatan Perhilitan 1800-88-5151
e-aduan di www.wildlife.gov.my