LIGA Malaysia (Liga-M) perlu berada pada tahap tertinggi dan lebih kompetitif agar setanding dengan Liga Thailand serta Liga Vietnam bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend berharap kualiti liga domestik segera dipertingkatkan daripada pelbagai aspek bagi memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu berganding bahu untuk membina semula asas yang kukuh, bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke pentas domestik.
"Saya percaya bola sepak negara ini ibarat gergasi yang sedang tidur. Saya teruja, tetapi ia memerlukan masa. Kami perlu membina asasnya.
"Tugas saya adalah bersama skuad kebangsaan, jadi ia saling berkaitan. Kita perlukan liga yang kompetitif, pemain beraksi dengan baik, serta persekitaran latihan yang lebih berkualiti.
"Kita tahu tahap kesihatan liga dan ada perkara yang perlu diberikan perhatian. Pembangunan bola sepak amat penting, dan kami perlu bekerjasama dengan erat dalam mencari penyelesaian,” katanya.
Nada sama turut dikongsi oleh jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, yang menganggap minit permainan dalam Liga-M jauh lebih rendah berbanding Liga Thailand.
"Liga ini boleh dimajukan lagi dan pendapat saya disokong oleh data. Dalam saingan liga Asia, minit permainan di Malaysia sangat rendah.
"Ada ketika corak permainan tidak begitu menarik, agak perlahan, dan aspek seperti ini boleh dikawal serta dipertingkatkan bagi membantu pemain.
"Kita bercakap mengenai revolusi dan ingin menjadi yang terbaik, tetapi Liga Vietnam dan Liga Thailand berada pada tahap yang lebih tinggi dengan minit permainan yang jauh lebih banyak.
"Aksi liga mereka berada pada tahap tertinggi. Ini adalah sesuatu yang perlu dikaji dan ditingkatkan,” ujar Cklamovski.