ANKARA - Dalam keheningan malam, bunyi gendang bergema di jalanan Turkiye, membangunkan umat Islam untuk bersahur sepanjang bulan suci Ramadan.
Setiap tahun, ketika tempoh berpuasa bermula, tradisi berabad-abad ini kembali menghidupkan suasana di jalanan Turkiye.
Pemukul gendang Ramadan berperanan sebagai penjaga warisan budaya yang sudah lama diamalkan.
"Ini adalah budaya lama yang kami cuba kekalkan untuk generasi baharu," kata Emir Cosan kepada Xinhua sebelum memulakan rondaan malamnya di daerah Mamak, Ankara.
Bulan suci Ramadan bukan sekadar tempoh berpuasa dari terbit fajar hingga senja, tetapi juga masa untuk refleksi diri dan disiplin spiritual.


Tradisi pemukul gendang Ramadan ini bermula sejak era Uthmaniyah, ketika jam loceng masih dianggap sebagai satu kemewahan yang tidak mampu dimiliki ramai.
Justeru, pemukul gendang mengambil tugas membangunkan penduduk untuk bersahur, satu amalan yang masih berterusan hingga kini.
Dengan mengenakan pakaian tradisional era Uthmaniyah dan membawa gendang besar berkepala dua, pemukul gendang berjalan dari satu kawasan ke kawasan lain, memainkan irama khas untuk memastikan semua orang bangun tepat pada waktunya untuk bersahur.
Ratusan tahun berlalu, namun tradisi ini tetap utuh, terutamanya di pekan-pekan kecil.
Bahkan di bandar besar seperti Istanbul, Ankara dan Izmir, di mana kehidupan moden telah mengubah banyak kebiasaan, bunyi gendang Ramadan masih berkumandang.
Ramai pemukul gendang Ramadan mewarisi tradisi ini daripada keluarga turun-temurun, sementara sebahagian lagi adalah pemuzik berpengalaman.
Mereka biasanya dipilih dan diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan atau majlis komuniti.
Rezeki pemukul gendang bergantung kepada kemurahan hati penduduk untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Di Turkiye, mereka biasanya mengadakan persembahan di majlis-majlis sosial sepanjang 11 bulan lain dalam setahun, menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk menambah pendapatan.
Ketika Cosan mula memalu gendangnya, lampu-lampu di apartmen mula menyala, dan penduduk mengintai dari pintu serta tingkap.
Sebagai tanda penghargaan, mereka akan memberi tip kepada pemukul gendang, seperti yang telah menjadi kebiasaan.
Namun, tradisi ini berdepan cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di sesetengah kawasan bandar, aduan semakin meningkat berikutan gangguan bunyi kepada penduduk bukan Islam atau pekerja syif, menyebabkan sekatan dikenakan terhadap amalan ini.
"Ada kalanya, penduduk meminta saya supaya tidak bermain berhampiran rumah mereka kerana bunyinya terlalu kuat. Namun, ada juga yang menghargainya," kata Cosan.
Hakan Gocer, seorang pemukul gendang Ramadan selama 15 tahun, menegaskan kepentingan memelihara warisan budaya ini di sebalik pengaruh teknologi yang semakin berkembang.
"Walaupun sudah ada telefon pintar dan teknologi lain, masih ramai yang lebih suka dibangunkan dengan bunyi gendang."
Bagi kebanyakan rakyat Turkiye, bunyi gendang Ramadan bukan sekadar panggilan untuk bangun sahur, tetapi melambangkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Sebagai langkah menjaga tradisi ini, beberapa pihak berkuasa tempatan kini mula menubuhkan kumpulan pemukul gendang Ramadan rasmi bagi memastikan amalan ini dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan hormat.
"Kami adalah generasi terakhir yang masih mengamalkan tradisi ini...Orang ramai nampaknya tidak lagi memberi kepentingan terhadapnya seperti dahulu," kata Cosan. – Xinhua