PEMAIN sensasi Selangor FC, Faisal Halim, meluahkan rasa terharu apabila kembali disenaraikan dalam skuad negara selepas mengalami insiden malang pada Mei tahun lalu.
Panggilan menyertai skuad Harimau Malaya ini ibarat satu permulaan baharu buat Faisal, selepas melalui proses pemulihan yang memeritkan akibat menjadi mangsa simbahan asid.
Pemain sayap lincah itu bertekad untuk memanfaatkan peluang keemasan ini sebaik mungkin bagi memikat hati jurulatih, Peter Cklamovski, menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bulan ini.
"Syukur alhamdulillah, saya menerima panggilan ke skuad kebangsaan buat kali pertama selepas kecederaan dan insiden hampir setahun lalu.
"Saya berasa amat terharu dan sudah tentu teruja untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan.
"Ini adalah permulaan dan semangat baharu buat saya dalam kancah bola sepak bagi membantu pasukan negara,” katanya.
Jurulatih dari Australia itu pada Khamis mengumumkan senarai 27 pemain, termasuk Faisal, bagi menjalani sesi latihan menjelang aksi berdepan Nepal di Stadium Sultan Ismail pada 25 Mac nanti.
Faisal turut meluahkan rasa teruja untuk belajar perkara baharu daripada jurulatih berpengalaman itu.
"Jurulatih baharu yang datang ke pasukan membuatkan pemain tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti apa yang akan diterapkan serta perkara yang bakal ditunjuk ajar.
"Kami sebagai pemain perlu belajar perkara baharu kerana dalam bola sepak, ia baik untuk pasukan dan bagus untuk seorang pemain,” katanya.
Sebagai rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengalami kecederaan tahap empat akibat menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei 2024.
Setelah menjalani pembedahan serta proses rawatan dan pemulihan, Faisal kembali ke padang menyertai rakan sepasukan pada Ogos tahun lalu.