SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima penyerahan dua kajian penyelidikan utama dari School of Technology Management & Logistic (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk meneliti aspek pengurusan kitar semula dan strategi operasi syarikat.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, kajian itu penting dan akan menjadi rujukan dalam perancangan jangka panjang KDEBWM untuk memperluas kapasiti kitar semula di Selangor.
Menurutnya, kajian pertama bertajuk ‘A Study on Location Decisions Strategy of KDEBWM’s Recycling Facilities in Selangor’ membincangkan pemilihan lokasi strategik bagi kemudahan kitar semula untuk memastikan kecekapan operasi selain memaksimumkan manfaat alam sekitar.
"Kajian kedua bertajuk ‘Assessing KDEB Waste Management Practices: Operations Strategy Approach’ menilai keberkesanan strategi operasi KDEBWM, termasuk pengurusan tenaga kerja, penggunaan teknologi, dan perancangan strategik.
"Kita dapati bahawa pengurusan sumber manusia yang cekap, penyelarasan dengan misi syarikat dan usaha terhadap kelestarian merupakan faktor utama kejayaan KDEBWM.
"Dapatan kajian ini akan menjadi panduan dalam memperkukuhkan operasi syarikat dan menetapkan penanda aras dalam industri pengurusan sisa,” katanya dalam Majlis Kerjasama Penyelidikan bersama UUM di Ibu Pejabat KDEB Waste Management di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Fo’ad Sakdan.
Dalam majlis tersenut, Ramli turut menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung daripada UUM sebagai penghargaan terhadap kepakaran beliau dalam bidang pengurusan sisa.
Pelantikan tersebut mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperkaya bidang akademik dan industri, selain membuka peluang perkongsian kepakaran dengan penyelidik serta pelajar UUM.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan kepada KDEBWM sebagai peneraju industri pengurusan sisa.
"Saya amat berbesar hati menerima pelantikan sebagai Professor Adjung ini. Ia bukan sahaja satu penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga pengiktirafan kepada KDEBWM sebagai peneraju dalam industri pengurusan sisa.
"Dengan kerjasama akademik seperti ini, kita dapat terus meningkatkan inovasi dalam operasi kita serta menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten dan lestari,” katanya.