TOTTENHAM Hotspur akan meneruskan amalan penggiliran The Lillywhites apabila bertandang ke Craven Cottage dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengesahkan slot suku akhir Liga Europa.
"Saya percaya kita perlu (membuat lebih banyak perubahan)... Kita lihat betapa sukarnya untuk mengekalkan prestasi, terutamanya. (Bermain) Ahad-Khamis tidak terlalu teruk, tetapi Khamis-Ahad adalah tugas yang sangat besar.
"Ia membantu kita bermain di tempat sendiri. Apabila kita bermain di tempat lawan, ia lebih sukar. Tetapi juga dengan kita mempunyai skuad yang lebih sihat, adalah wajar untuk kita membuat beberapa perubahan," kata pengendali Ange Postecoglou dalam sidang akhbar.
Tottenham menewaskan AZ Alkmaar 3-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16, membalikkan defisit 0-1 daripada pertemuan pertama dengan dua gol Wilson Odobert dan satu gol sumbangan James Maddison.
Tottenham kini berada di tangga ke-13 dengan 34 mata daripada 28 perlawanan, lapan mata di belakang Fulham yang berada di tangga ke-10 dan 15 mata daripada empat teratas.
Postecoglou kelahiran Australia berkata, skuadnya kelihatan baik menjelang perjalanan ke laman The Cottagers bimbingan Marco Silva.
"(Ia kelihatan) cukup baik. Tiada (laporan) daripada malam tadi. Semua orang berjaya melaluinya dengan baik," kata Postecoglou.
Pemain tengah Rodrigo Bentancur akan tersedia selepas menjalani penggantungan Liga Europa, manakala pemain pertahanan Sergio Reguilon, penyerang Timo Werner, serta penjaga gol Fraser Forster dan Antonin Kinsky juga kembali selepas tidak layak menentang AZ.
"Kami mendapat beberapa pemain utama kembali dan juga (kami mempunyai) keupayaan untuk merotasi pasukan dan mengekalkan (ia) segar.
"Tekanan kami jauh lebih baik (malam tadi), tetapi itu kerana pemain seperti Sonny (Son Heung-min) dan Madds (James Maddison) tidak bermain 90 minit pada hujung minggu," kata Postecoglou.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (15 MAC)
Everton lwn West Ham United, 11 malam
Southampton lwn Wolverhampton, 11 malam
Ipswich Town lwn Nottingham Forest, 11 malam
Manchester City lwn Brighton, 11 malam
AHAD (16 MAC)
Bournemouth lwn Brentford, 1.30 pagi
Arsenal lwn Chelsea, 9.30 malam
Fulham lwn Tottenham, 9.30 malam
ISNIN (17 MAC)
Leicester City lwn Manchester United, 3 pagi