SHAH ALAM - Seorang lelaki terkejut apabila mendapati syarikatnya digunakan untuk memfailkan caruman tertunggak untuk pekerja tidak dikenali dengan jumlah mencecah RM15,000.
Pelatih kewangan, Ka Hoe Ng berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang caruman sebelum ini dan tidak mempunyai kakitangan bagi syarikat berkenaan.
Tambah Hoe Ng, dia juga tidak menyangka apabila mendapati caruman yang difailkan itu melibatkan nama-nama individu yang tidak pernah bekerja dengan syarikat tersebut.
Menurut Hoe Ng, dia turut menerima surat peguam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memintanya supaya menjelaskan denda yang dikenakan itu.
"Saya pergi ke KWSP untuk mengetahui apa yang berlaku. Ternyata, ada seseorang yang menggunakan syarikat saya untuk memfailkan caruman tertunggak bagi senarai kakitangan mereka.
"Apabila saya melihat senarai kakitangan itu, saya tidak mengenali sesiapa pun dalam senarai tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Hoe Ng berkata, individu dipercayai terlibat dalam penipuan itu telah mengeluarkan cek atas nama syarikatnya di kaunter KWSP pada Mei 2022.
Ulasnya, individu berkenaan kemudian menutup akaun caruman majikan syarikat tersebut selepas lima bulan dengan alasan tidak lagi mempunyai pekerja.
Tambahnya, terdapat tandatangan pada dokumen penutupan akaun itu didakwa milik seorang bekas pengarah syarikat yang telah meletak jawatan pada 2013.
"Ia agak pelik sedangkan syarikat saya telah dibubarkan pada tahun 2014 dan setahu saya, dia kini muflis akibat memiliki terlalu banyak hartanah.
"Bagaimana ini boleh berlaku? Saya benar-benar terkejut. Oleh itu, saya membuat laporan polis untuk melindungi diri saya kerana saya tidak pernah membuat caruman sebelum ini.
"Saya harap perkongsian ini dapat memberi kesedaran kepada pemilik perniagaan lain supaya lebih berhati-hati dengan syarikat yang tidak lagi beroperasi dan mungkin boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan," katanya.