Brussels - Ahli Parlimen Kiri Belgia, Marc Botenga menegur Menteri Urusan Kesatuan Eropah Poland, Adam Szlapka secara terbuka di Parlimen Eropah selepas dilihat ketawa semasa perbahasan berhubung situasi kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza pada Rabu.
Memetik laporan News.Az, Botenga berkata, tindakan Szlapka itu disifatkan sebagai tidak sensitif kerana gagal menghormati sidang tersebut sewaktu sedang membincangkan konflik Gaza yang menyebabkan ribuan nyawa rakyat Palestin terkorban.
"Perkara pertama yang saya mahu minta adalah berhenti ketawa. Kamu ketawa ketika kita bercakap tentang kematian berapa ramai rakyat Palestin.
"Populasi mereka sedang kelaparan tetapi kamu pula ketawa dan buat jenaka. Ini bukan perkara yang lucu.
"Orang Palestin adalah manusia dan kamu sepatutnya malu,” katanya pada Rabu.
Ujar Botenga, tindakan itu juga didakwa mencerminkan keperibadian Kesatuan Eropah pada masa kini yang menghina dan tidak mempedulikan nyawa rakyat Palestin yang terkorban.
Menurutnya, blok kerajaan itu mengakui situasi di Gaza semakin teruk tetapi enggan mengakui sebabnya.
"Israel menyekat segala bantuan kemanusiaan, bekalan makanan termasuk bekalan elektrik. Tanpa elektrik, tidak mungkin untuk menyahtoksik air.
"Tiada air minuman untuk rakyat, keluarga, kanak-kanak dan anda masih boleh ketawa. Bagaimana ini boleh berlaku, menteri?” soalnya.
Kata Botenga, pendirian Kesatuan Eropah terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan dengan segera.
"Jika sikap ini berterusan, saya jamin Kesatuan Eropah akan menerima pembalasan atas perbuatan dilakukan,” ujarnya.