SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada bekas staf Ahli Parlimen Seputeh, Edmund Teoh Kheng Yaik, memiliki rakaman audio sebagai bukti berhubung dakwaan dikaitkan dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.
Persoalan ini ditimbulkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu susulan kenyataan Edmund Teoh yang mendakwa dirinya hanya mengikut arahan Teresa Kok tanpa syarat.
Jelas Mohd Puad, kenyataan terkini Edmund Teoh itu mencetuskan tanda tanya sama ada wujud bukti kukuh seperti rakaman audio bagi menyokong dakwaannya, sebagaimana yang berlaku dalam kes rasuah di Sabah.
"Apa maksud Edmund Teoh ikut arahan tanpa syarat? Terlalu banyak misteri. Harap-harap Teoh ada buat rakaman audio seperti dalam kes rasuah Sabah.
"Bolehlah serah rakaman audio itu kepada (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. Mungkin dia bersedia membantu seperti dalam kes rasuah Sabah. Pokoknya kredibiliti dan integriti Teresa Kok tercalar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Baru-baru ini, SPRM mereman dua bekas pegawai Teresa Kok atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000. Mereka dibebaskan dengan jaminan kemudian.
Sumber SPRM berkata, rasuah itu bagi membantu meluluskan permohonan pembiayaan RM1.5 juta bagi pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.
Berikutan itu, Teresa Kok menyuarakan kebimbangan terhadap peluang mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP susulan siasatan ke atas bekas pembantunya.
Minggu lalu, Teresa Kok dilaporkan berkata, beliau dipersalahkan secara tidak adil oleh beberapa ahli parti dan keluarga bekas kakitangannya atas keputusan SPRM menyoal siasat dua bekas pegawainya.
Menjawab tuduhan di media sosial mengenai dakwaan pembabitannya, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata beliau mahupun kakitangannya tidak membuat laporan kepada agensi antirasuah berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Puad menggesa Edmund Teoh mendedahkan cerita sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan peruntukan pembangunan ahli Parlimen memandangkan rakyat pastinya ingin mengetahui perkara yang benar.
Jelasnya, segala misteri berkaitan dakwaan ke atas Teresa Kok hanya akan terungkai sekiranya Edmund Teoh sanggup melakukan kesungguhan dan kejujuran politik untuk mendedahkan perkara yang sahih.
"Apakah Edmund Teoh sanggup melakukan kesungguhan politik dan kejujuran politik? Dedahkan cerita sebenar.
"Rakyat mahu tahu bagaimana peruntukan pembangunan ahli Parlimen boleh diseleweng? Salah YB (Teresa Kok) atau pegawai? Dana peruntukan YB dan dana untuk promosi kempen kerajaan kini (berisiko) boleh diseleweng dengan skala lebih besar," katanya.