Kalau sudah tercatit saya ke situ, ke situlah saya: Sultan Abdullah

Iklan
Sultan Abdullah bersalaman bersama penduduk yang hadir solat subuh di Masjid Imam Ash Shafie, KotaSas di sini, hari ini.

KUANTAN - Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah akan memfokuskan kepada istiadat pemasyhurannya dan angkat sumpah sebagai Sultan Pahang keenam berbanding kemungkinan beliau akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16.

"Dari situ baru saya fikir apakah harus saya buat selepas itu, ketika ini saya tidak dapat nyatakan lagi mengenai perkara itu (sebagai Yang di-Pertuan Agong)

Iklan
Iklan

"Kalau sudah tercatit saya ke situ, ke situlah saya (sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16). Ada dalam Surah Yasin ayat ke-82, kalau kita baca baru faham,” titahnya kepada media ketika ditemui selepas baginda menunaikan solat subuh di Masjid Imam Ash Shafie, KotaSas di sini, hari ini.

Sultan Abdullah berkata demikian ketika mengulas kemungkinan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16 berikutan pemasyurannya sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa semalam.

Iklan

Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Iklan

Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah bertitah, perasaan baginda berasa insaf dan bercampur serta syukur atas pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang yang menerima kepercayaan daripada ayahandanya, adik beradiknya serta rakyat.

Titah baginda, ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar diberikan ALLAH SWT dan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat Pahang.

Tambahnya, baginda akan memastikan kesejahteraan rakyat yang sentiasa dibela dan menjalinkan kerjasama baik dengan kerajaan Negeri dan Pusat yang menjadi fokus utamanya sebagai Sultan Pahang.

"Saya hendak janji lebih sangat pun ini bukan masanya untuk dinyatakan, tetapi saya akan berikan segala usaha dalam apa jua bidang sekali pun,” titahnya.

"Tidak kira kerajaan mana sekali pun, kita harus mempunyai hubungan baik untuk membela rakyat yang memerlukan pertolongan.

"Saya akan buat segala dalam konteks kuasa diberikan kepada Raja Berperlembagaan dan saya perlu banyak nasihat, teguran dan kritikan pedas, supaya dapat persefahaman lengkap untuk menuju ke hadapan” titahnya.