SOUTH CAROLINA - Seorang wanita berusia 31 tahun didakwa menikam bayinya yang baru lahir hingga mati dengan pembuka surat besi sebelum memasukkan mayat itu ke dalam beg sampah.
Memetik laporan NDTV World, wanita itu dikenali sebagai An T Ngo dari South Carolina, melahirkan seorang anak lelaki pada Jumaat lalu di pangsapurinya.
Beberapa saat selepas bersalin, dia didakwa memotong tali pusat dengan pembuka surat dan terus menikam anak lelakinya yang baru lahir berulang kali hingga mati.
Ketua Polis Easley, Brandon Liner berkata, beliau tidak pernah menjumpai kes kejam seperti ini sepanjang penglibatannya dalam kerjaya badan berkuasa.
"Saya telah melakukan (pekerjaan) ini selama lebih dua setengah dekad dan tidak pernah melihat kejadian yang mengerikan seperti ini," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Polis berkata, selepas Ngo memasukkan bayi dalam beg plastik, dia didakwa meletakkan mayat berkenaan di sebuah bilik lain.
Kejadian tersebut dilaporkan oleh teman lelaki Ngo. Pegawai polis kemudiannya tiba di lokasi kejadian untuk mencari bayi itu.
Mereka mendapati bayi berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ngo pula dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
"Amat jelas bahawa Ngo adalah orang yang membunuh kanak-kanak ini secara tragis," kata Ketua Polis Easley pada sidang akhbar itu, menurut New York Post.
"Kami akan memastikan bayi ini akan menerima keadilan. Dia tidak mempunyai peluang untuk hidup, tidak lama,” ujarnya.
Polis menahan wanita itu pada Selasa selepas dia dibenarkan keluar dari hospital. Dia didakwa membunuh melalui penderaan kanak-kanak dan telah dinafikan ikat jamin.
Dia ditahan dalam tahanan sebelum penampilan mahkamah seterusnya pada 15 Mei.