BINTANG Brazil, Neymar sekali lagi terpaksa menangguhkan kepulangannya ke skuad kebangsaan selepas disahkan tersisih daripada senarai pemain untuk aksi kelayakan Piala Dunia bulan ini akibat kecederaan paha.
Konfederasi Bola Sepak Brazil mengesahkan pada Jumaat bahawa Neymar, penjaga gol Manchester City, Ederson serta pemain pertahanan Flamengo, Danilo telah digugurkan daripada senarai pemain akibat masalah kecergasan.
Neymar sudah tidak beraksi bersama skuad Selecao sejak Oktober 2023 selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) serta meniskus di lutut kirinya.
Pemain yang kini kembali ke kelab lamanya, Santos, pada jendela perpindahan Januari lalu sebelum ini disenaraikan dalam skuad bagi perlawanan menentang Colombia dan Argentina bulan ini.
Namun, hasrat untuk kembali ke pentas antarabangsa terbantut selepas dia mengalami kecederaan otot ketika membantu Santos mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bragantino pada 2 Mac lalu.
Sebagai pengganti, CBF mengumumkan tiga pemain baharu dipanggil ke dalam skuad, iaitu penyerang muda Real Madrid, Endrick, penjaga gol Lyon, Lucas Perri, dan pertahanan Flamengo, Alex Sandro.
Menurut pengendali Brazil, Dorival Jr., keputusan itu dibuat selepas pihak perubatan pasukan menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap tahap kecergasan pemain-pemain terlibat.
"Selepas pemantauan rapi oleh pasukan perubatan, kami membuat keputusan untuk menggantikan Neymar, Danilo, dan Ederson dengan Lucas Perri, Alex Sandro, dan Endrick," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CBF.
Brazil kini berada di tangga kelima dalam saingan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan dan dijadualkan menentang Colombia pada Khamis ini sebelum bertemu seteru utama, Argentina, pada 25 Mac.
Enam pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.