KAJANG - Seorang lelaki yang bertindak memukul seorang pemandu yang merupakan pelajar sekolah akibat salah faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian di sini, direman sehari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis telah merekodkan enam keterangan individu termasuk mangsa dan saksi kejadian.
"Suspek direman sehari pada Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham ketika memandu antara mangsa dan suspek," katanya pada Sabtu.
Tambahnya, semakan juga mendapati suspek berusia 39 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau.
Pada Jumaat, seorang pelajar Tingkatan Lima cedera selepas ditumbuk oleh seorang lelaki tidak dikenali akibat salah faham di persimpangan jalan berhampiran Saujana Impian, Kajang.
Polis menerima laporan dibuat mangsa berusia 17 tahun itu pada jam 9.24 malam sebelum penahanan suspek pada hari yang sama.
Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu menyebabkan mangsa yang mengalami retak tulang batang hidung menerima rawatan di Hospital Kajang.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan pihak polis telah mengeluarkan saman berhubung kesalahan itu.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung kes lain yang tular dakwaan suspek menampar dua kanak-kanak di kawasan perumahan dipercayai di Kajang, Naazron berkata, tiada laporan diterima berhubung insiden itu.
Sinar Harian difahamkan, video melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu dipercayai berlaku pada Mac tahun lalu.