ALOR SETAR - Keceriaan jelas terpancar di wajah 40 anak yatim asnaf dari kawasan Air Hitam dan Alor Janggus apabila mereka berpeluang memilih sendiri pakaian raya dalam Program Sentuhan Kasih Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Puspanita PKNK.
Program yang diadakan di sebuah pusat membeli belah pakaian ini bertujuan menceriakan golongan kurang berkemampuan menjelang Syawal, selain memupuk nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja serta ahli Puspanita PKNK.
Pengerusi Puspanita PKNK, Noor Afza Osman berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan, terutama anak-anak yatim asnaf.
"Hari ini, kita membawa senyuman dan kegembiraan kepada mereka. Insya-ALLAH, dengan sedikit sumbangan dan perhatian yang diberi, anak-anak ini dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna dan rasa dihargai," katanya baru-baru ini.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengurus Smart IQ, Azki Hafizi, serta warga kerja dan ahli Puspanita PKNK yang turut membantu anak-anak yatim memilih pakaian raya pilihan mereka.
Noor Afza turut merakamkan penghargaan kepada pihak Smart IQ atas kerjasama erat dalam menjayakan program itu serta pusat membeli belah itu yang sudi menyediakan ruang khas untuk anak-anak memilih pakaian mereka.
"Alhamdulillah, majlis berjalan lancar seperti dirancang. Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan agar lebih ramai golongan memerlukan dapat merasai kemeriahan Aidilfitri," katanya.
Menurutnya, program sebegini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim asnaf tetapi juga memberi pengalaman bermakna kepada para sukarelawan yang terlibat.
"Ia diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam usaha membantu mereka yang memerlukan," ujarnya.