SHAH ALAM - Polis giat memburu dua rakan sejenayah kepada tiga warga asing yang mati ditembak selepas menyerang polis di Desa Vista, Sepang, pada Jumaat.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan kumpulan terbabit yang aktif melakukan jenayah samun serta pecah rumah.
"Kes masih dalam siasatan manakala dua lagi saki-baki penjenayah yang masih bebas sedang diburu polis," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan oleh pemilik rumah, menggerakkan pasukan ke lokasi.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pasukan berjaya menemukan tiga suspek di kawasan hutan.
Suspek berusia 35 hingga 40 tahun bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang sebelum ditembak mati.
Semakan lanjut mendapati kesemua suspek itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
Siasatan awal mendapati semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta.
Suspek dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba menghalang kegiatan mereka.