GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengalu-alukan pengumuman terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai, yang kini telah memasuki peringkat perancangan fasa akhir.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang juga berharap agar proses rundingan perjanjian pembelian air terawat dapat bermula dan diselesaikan, selain menyegerakan pelaksanaan projek yang mendesak ini.
Menurutnya, Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa pelaksanaan projek yang bakal membaik pulih dan meningkatkan kapasiti Sungai Perak serta membina sistem saliran terus untuk menyalurkan air ke Bukit Merah dan dari Bukit Merah ke Kerian kini berada pada peringkat akhir perancangan.
"Perdana Menteri menekankan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan pengagihan air untuk KIGIP serta seluruh daerah di sekitar kawasan tersebut, malah juga meluaskan bekalan ke Seberang Perai, meliputi Sungai Bakap dan Cherok Tok Kun di negeri Pulau Pinang.
"Di pihak kami, kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah bersedia, dan perancangan awal telah dibuat dengan memperoleh kelulusan perlu berhubung pelaksanaan projek yang telah tertangguh selama 14 tahun ini," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.
Kon Yeow berkata, secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang ini adalah amat penting kerana ia bukan sahaja akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah keperluan para pengguna di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kini akan lebih terjamin.
Katanya, ini termasuk pusat-pusat pembangunan sedia ada, yang dalam proses serta yang bakal diwujudkan pada masa depan.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kini berada di peringkat akhir perancangan sebelum dilaksanakan.
Perdana Menteri dilaporkan berkata bahawa projek tersebut bertujuan menambah keupayaan Sungai Perak untuk membekalkan air ke Tasik Bukit Merah.
Menurutnya, daripada Tasik Bukit Merah itu, air dapat disalurkan ke kawasan yang baharu dibangunkan, iaitu KIGIP.