KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) merayu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membantu menyelesaikan isu penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi seperti yang diumumkan hari ini.
Timbalan Presiden MATTA Mohd Akil Mohd Yusof memohon supaya Al-Sultan Abdullah selaku ketua umat Islam negara berunding dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, bagi mempertimbangkan semula keputusan penggantungan itu.
"Patik selaku rakyat Malaysia dan timbalan presiden MATTA mewakili umat Islam ingin merayu dan memohon perkenan Tuanku untuk berunding dengan Raja Arab Saudi (Raja Salman) bagi mempertimbangkan (menarik balik) penyekatan visa umrah dan visa ziarah ke Arab Saudi untuk kebaikan umat Islam.
"Penggantungan sementara ini akan menjejaskan pengusaha pelancongan umrah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19), menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.
Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas dengan Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.
Sementara itu, Mohd Akil meminta orang ramai yang telah mendaftar untuk mengerjakan umrah supaya tidak panik dan berhubung dengan ejen atau syarikat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kita juga menyeru semua ahli-ahli MATTA supaya sabar semasa berurusan dengan pelanggan mereka yang terkesan akibat pengumuman ini. MATTA juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu memudahkan urusan jemaah,” katanya.
Mohd Akil berkata, pada 2019, seramai 270,000 rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Sah Malaysia antara 25 negara digantung visa umrah