ALOR SETAR - ALOR SETAR - Pusat beli-belah Aman Central di bandar raya ini mengetengahkan tema Keindahan Raya Open House bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, melalui tema berkenaan, pengunjung dapat menikmati persembahan kebudayaan, muzik tradisional, tarian, bengkel interaktif serta pelbagai pilihan gerai jualan khas untuk persiapan raya.
Katanya, pengunjung akan disambut dengan keindahan candelier Emerald Persian, bulan sabit yang berukir indah serta warna Chroma yang berani, menjadikan pusat beli-belah ini ibarat syurga perayaan Aidilfitri yang menawan.
"Matlamat utama sambutan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara keluarga serta komuniti. Kami ingin semua orang merasai suasana pulang ke rumah dan mencipta ruang di mana keluarga boleh berkumpul untuk pengalaman Aidilfitri yang penuh kegembiraan dan bermakna.
"Dekorasi kami juga dirancang dengan teliti untuk membangkitkan semangat kebersamaan,” katanya ketika majlis pelancaran Raya Open House di pusat beli-belah berkenaan pada Jumaat.
Program berkenaan dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad.
Menurutnya, antara jenama terkenal yang mengambil bahagian di Central Atrium termasuk Denim Pacific, Lee Cooper, Bulan Bintang, Butik Enara, Fitrah Couture, Ceritera, Gianni Valentino, BabyShop, Perfume House Empire, Fashion Malaya, g’Ayu Collection, Elrah Exclusive, Maejestica, The Jemari Exclusive, Muaz dan BGM Polo Raya.
"Di North Atrium, pula pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk eksklusif daripada jenama seperti Butik Hanani, Kassyaf, Femmes Cookies, Wanniz Baju Melayu, Shah Boutique, Zaira, De Impiana, Batik ANR, Qamraa, Yus’z Exclusive, Nakhoda Utara Enterprise dan Jora,” ujarnya.
Katanya, Aman Central sangat mengalu-alukan para pengunjung untuk menghayati keindahan Aidilfitri sambil membeli kelengkapan raya bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Sambutan ini akan berlangsung dari 24 Februari hingga 13 April yang memberi penghormatan kepada nilai kekeluargaan, tradisi dan kebersamaan dalam masyarakat Malaysia.
"Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah dan berharap usaha kami kali ini dapat memberi impak, menyatukan serta meraikan semua pengunjung tanpa mengira latar belakang kaum dan agama dalam perayaan ini,” jelasnya.
Ken Chin berkata, selain dekorasi yang memukau dan suasana perayaan yang meriah, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pengalaman interaktif, acara istimewa, promosi eksklusif serta hadiah menarik yang akan menjadikan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna.
"Antara pertandingan yang kita anjurkan adalah Malaysian Cultures Costume Contest, Open House TikTok Contest dan Facebook Online Contest yang menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang.
"Acara ini akan memberikan peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman budaya yang menggabungkan warisan tradisional Melayu dengan estetika moden yang bergaya, menjadikan setiap kunjungan sebagai pengalaman perayaan yang tidak dapat dilupakan,” katanya.