TASEK GELUGOR - Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi lebih bermakna buat 10,405 asnaf fakir dan miskin di negeri ini apabila menerima sumbangan Saguhati Hari Raya daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, sebanyak RM 4.68 juta diperuntukkan dan akan disalurkan menerusi akaun penerima mulai Jumaat.
Menurutnya, sagu hati yang diberikan bukan sahaja bertujuan meringankan beban serta menceriakan sambutan Aidilfitri malah ia juga merupakan usaha kerajaan negeri dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
"Sagu hati hari raya kepada asnaf fakir dan miskin merupakan inisiatif tahunan agihan zakat oleh Zakat MAINPP.
"Pada tahun ini, sebanyak RM4.68 juta diperuntukkan bagi agihan sagu hati kepada 10,405 penerima di seluruh negeri. Setiap asnaf fakir menerima RM700 manakala asnaf miskin menerima RM600," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sagu hati fakir dan miskin di Masjid Jamek Tasek Gelugor di sini pada Sabtu.
Dalam majlis berkenaan seramai 33 orang menerima sagu hati bernilai RM20,900 keseluruhan berserta hamper makanan yang disediakan oleh Zakat MAINPP.
Terdahulu di majlis berasingan di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Dr Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I turut menyampaikan sumbangan sama kepada 48 penerima dari Kariah Permatang Tok Gelam, Permatang Binjai dan Pekan Darat yang mana jumlah keseluruhannya bernilai RM49,300.
Selain itu, 150 asnaf mualaf berdaftar dengan Kompleks Darul Hidayah turut menerima sumbangan.