BATU PAHAT – Sebanyak 16,500 liter diesel yang disimpan secara haram di sebuah premis di Parit Yaani di sini disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Batu Pahat dalam serbuan pada Jumaat.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan menerusi Ops Pantau 2025-Bekalan sekitar jam 2 petang itu menemukan tiga tangki berisi diesel yang dipercayai digunakan untuk mesin jentera berat.
"Pemeriksaan mendapati syarikat terbabit gagal mengemukakan dokumen sah, termasuk lesen dan permit untuk memiliki serta menyimpan bahan kawalan berkenaan.
"Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa permit penyimpanan minyak diesel syarikat itu telah tamat tempoh sejak empat tahun lalu, selain terdapat unsur pemalsuan dokumentasi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, pihaknya telah menyita semua diesel yang dianggarkan bernilai RM50,000 manakala seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun dipercayai pengarah syarikat terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Lilis memaklumkan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.
"KPDN Johor mengalu-alukan kerjasama orang ramai dan menyediakan pelbagai saluran untuk mereka menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram seperti ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN," katanya.