JOHOR BAHRU - Pertanyaan Allahyarham Md Aris Samar, 84, mengenai kunci rumah kira-kira tiga hari sebelum tragedi kebakaran rumah didiami di Taman Permas Jaya, Masai di sini masih terngiang-ngiang di telinga anaknya Hamiza Md Aris, 57.
Anak kedua mangsa itu berkata, pertanyaan bapanya itu menyebabkan dia meninggikan suara tambahan pula arwah bapanya itu memang mengalami masalah pendengaran.
"Sebelum kejadian itu saya tak nampak apa-apa sebarang keanehan ditunjukkan oleh arwah. Cuma dalam lagi dua atau tiga hari itu dia ada tanya saya pasal kunci rumah.
"Saya cakap pada dia tak perlu kunci rumah sebab saya ada lagipun di rumah dah ada budak-budak. Lepas tu dia marah saya," katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod, Md Aris merupakan mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga rumah teres di Taman Permas Jaya pada awal pagi Sabtu.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12 tengah malam itu turut menyebabkan tiga rumah teres lain terbakar antara 20 hingga 80 peratus.
Mengimbau kembali tragedi tersebut, Hamiza berkata, ketika kejadian dia sedang tidur.
Bagaimanapun katanya, anak saudaranya telah mengejutkannya dan memberitahu bapanya itu memanggil namanya.
"Anak saudaranya saya kemudiannya meluru naik ke atas bilik dan menolak pintu tetapi ada api.
"Bilik ini dah gelap tapi kendengaran bapa saya macam merayu minta tolong... itu sahaja saya tahu sebab lepas itu kami kena keluar dari rumah," katanya.
Jenazah Allayarham Md Aris, dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HIS) untuk bedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkora di sini pada Ahad.
Sementara itu, jiran mangsa, Latifah Samsuri, 31, berkata, bunyi anak batuk menyebabkan dia terjaga daripada tidur.
Katanya, ketika itu dia melihat api sudah marak dan terus membawa anaknya keluar dari rumah berkenaan.
"Saya tak terfikir panjang, saya terus bawa anak keluar rumah. Masa kejadian suami saya tiada di rumah," katanya.
Ketua Kampung Senibong, Abdul Rahim Moen, 61, berkata, pihaknya sedanbg berusaha membantu mangsa kebakaran
"Kita minta mangsa untuk buat laporan dan kita akan ajukan kepada pihak yang berkaitan," katanya.