PENYANYI popular Black Hanifah dan Adira Suhaimi, berkolaborasi buat kali pertama dalam lagu raya baharu berjudul Syawal Rindu.
Lagu ciptaan Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana itu mengisahkan kerinduan terhadap keluarga serta kenangan lebaran yang tidak dapat diraikan bersama.
Black berkata, lagu tersebut membawa makna mendalam bagi mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama-sama dengan insan tersayang.
"Kesenian dalam lirik dan melodi lagu ini mampu menyentuh jiwa setiap pendengar, membawa mereka merasai betapa pentingnya kasih sayang, terutama di saat jarak serta waktu menghalang pertemuan di tengah kemeriahan lebaran.
"Semua ini disampaikan dengan jelas dalam bait-bait lagu dengan alunan penuh penghayatan, sekali gus mencipta gambaran nyata mengenai kerinduan yang mendalam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Adira turut berkongsi keterujaan kerana dapat bekerjasama dengan Black dalam sebuah lagu raya yang penuh emosi.
"Saya dapat merasakan sinergi kami sepanjang proses rakaman yang mencipta suasana kreatif dan penuh semangat. Kami saling memberi inspirasi dan sokongan untuk menghasilkan sebuah karya yang bermakna dan berkualiti,” katanya.
Lagu Syawal Rindu terbitan Nova Music dilancarkan di semua platform penstriman, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube bermula semalam. - Bernama