JOHOR BAHRU – Seorang guru wanita mengalami kerugian lebih RM80,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 34 tahun itu ditipu oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya melalui laman web pencarian jodoh.
"Suspek memperdaya mangsa dengan mempelawanya untuk melabur dalam mata wang kripto. Terpedaya dengan kata-kata lelaki itu, mangsa membuat sembilan transaksi berjumlah RM110,510 ke beberapa akaun bank antara 10 hingga 13 Mac lalu.
"Hasil siasatan mendapati mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM29,985.85 sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semakan melalui aplikasi Semak Mule CCID mendapati salah satu akaun yang digunakan dalam penipuan itu mempunyai dua rekod kes penipuan sebelum ini.
Dalam kes berasingan, beliau memaklumkan seorang juruukur berusia 58 tahun turut menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud hingga menyebabkan kerugian RM21,500.
Raub berkata, mangsa diperdaya oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan sebuah syarikat pelaburan saham di media sosial yang menjanjikan keuntungan sehingga 50 peratus dalam masa singkat.
"Mangsa berhubung dengan seorang pengurus akaun dikenali sebagai Ellie bagi pendaftaran akaun aplikasi Silegax Exchange.
"Percaya dengan pelaburan itu, mangsa membuat enam transaksi pembayaran kepada empat akaun bank berlainan antara Disember hingga Isnin lalu berjumlah RM21,500,” ujarnya.
Raub memaklumkan, mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan dan suspek terus mendesaknya membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan pulangan pelaburan.
Katanya, hasil semakan Semak Mule CCID mendapati dua akaun bank yang digunakan dalam transaksi ini mempunyai 11 rekod penipuan terdahulu.
"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai perlu lebih berwaspada dengan individu yang menawarkan skim pelaburan mencurigakan, terutama yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
"Penipuan pelaburan atas talian semakin berleluasa dan boleh menimpa sesiapa sahaja, termasuk golongan profesional seperti guru, doktor atau pegawai kerajaan,” tegasnya.