'Tuduhan GRS-PH Plus gagal dibuat puak tidak suka kita' - Hajiji

Iklan
Hajiji menyerahkan replika kunci rumah SMJ DUN Sukau kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Tun Juhar Sukau, Kinabatangan.

KINABATANGAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menganggap tuduhan bahawa pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus gagal, hanya tanggapan pihak yang tidak suka kepada kerajaan yang dipimpinnya.

Malah beliau mempertahankan keupayaan GRS-PH Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri ini dengan baik dan tidak gagal melaksanakan tanggungjawab serta tugasnya selaku pemerintah.

Iklan
Iklan

Katanya, tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan pihak atau puak yang enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.

"Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.

Iklan

"Kita dapat tingkatkan hasil negeri, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke universiti.

"Begitu juga dengan Petronas, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita. Kalau kita tidak pandai urus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku. Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah; Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, beliau yakin rakyat sekali lagi akan memberi mandat kepada GRS-PH Plus kepada kerajaan hari ini termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

"Saya minta rakyat di Sukau ini jangan percaya kepada pembohongan pemimpin atau puak yang tertentu ini. Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS - PH Plus," katanya.

"Rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus pada PRN akan datang dan meyakini gabungan ini akan memenangi pilihan raya nanti.

"Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal usul mereka dan insya-ALLAH kalau diberi peluang, kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan ini.

"Lupakanlah dulu punya sejarah, kita cuba yang baharu ini pula, Insya-ALLAH kita akan dapat kemajuan seperti yang kita rancangkan. Kita kuatkan perpaduan kita dan buat perubahan untuk Sukau, Lamag dan Kuamut," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hajiji menyatakan keyakinannya untuk melihat daerah kecil Sukau membangun dengan lebih pesat di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil yang baharu, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.