DAMSYIK - Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 12 lagi cedera apabila letupan kuat menggegarkan kejiranan al-Raml al-Janoubi di bandar pesisir pantai Latakia, Syria, pada Sabtu, lapor Xinhua memetik agensi berita SANA.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan angka korban dan melaporkan kerosakan besar pada bangunan kediaman berhampiran, sambil menambah bahawa punca letupan masih belum dikenal pasti dan dalam siasatan.
Iklan
Iklan
Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mencari kemungkinan lebih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Sementara itu, sumber di Latakia memberitahu Xinhua bahawa sebuah bangunan di al-Raml al-Janoubi telah runtuh susulan letupan itu.
Wilayah pesisir Syria, termasuk Latakia, telah dilanda keganasan meluas sejak 6 Mac, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,500 orang.
Menurut Kementerian Pertahanan Syria dan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keganasan itu tercetus susulan serangan berskala besar oleh kumpulan bersenjata yang setia kepada bekas Presiden Bashar al-Assad terhadap pasukan keselamatan di Wilayah Latakia, sebelum merebak menjadi pertempuran sektarian yang menyasarkan bandar serta kampung majoriti Alawit. - Bernama-Xinhua