PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan tempoh persiapan yang singkat tidak akan menjadi halangan buat skuad kebangsaan dalam menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini.
Menurut Cklamovski, beliau akan memanfaatkan kem latihan yang bermula Isnin ini dengan sebaik mungkin bagi menerapkan taktikal serta strategi yang diinginkan dalam pasukan.
"Ia sememangnya bukan kem latihan yang panjang, tetapi kami akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk membentuk mentaliti dan memastikan pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik.
"Kami mahu menunjukkan komitmen, intensiti serta kesungguhan bagi memastikan penyokong bangga dengan persembahan pasukan. Tidak kira sama ada kem latihan ini panjang atau pendek, kami akan memaksimumkan penggunaannya," katanya.
Skuad negara akan memulakan kem latihan pertama pada Isnin dan hanya memiliki lapan hari sebelum perlawanan menentang Nepal.
Ia menjadi perlawanan pertama buat Cklamovski yang dilantik pada Disember lalu dan menjadi tugas berat untuknya dalam membentuk pasukan yang mengikut acuan dimahukannya dalam tempoh singkat.
Mengulas lanjut, Cklamovski mendedahkan bahawa Harimau Malaya tidak akan mengadakan sebarang aksi pemanas badan, sebaliknya hanya menjalani perlawanan dalaman tertutup sebagai persediaan terakhir sebelum berdepan lawan itu.
"Kami tidak ada perlawanan persahabatan kali ini. Sebaliknya, kami akan menggunakan tempoh latihan ini untuk membentuk pasukan dan memastikan pemain memahami konsep permainan yang diterapkan," ujarnya.
Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Nepal, Vietnam dan Laos namun hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 bagi menyertai 18 pasukan yang sudah layak daripada pusingan kedua sebelum ini.