Lebih 70 peratus beli-belah online

Iklan
Sebanyak 70.6 peratus penduduk negara ini membuat aktiviti pembelian barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang bagi tempoh sepanjang tahun 2023. Gambar kecil dari kiri: Nurfahana, Anisa Hanna, Mohd Syafiq

SHAH ALAM - Sebanyak 70.6 peratus penduduk negara ini membuat aktiviti pembelian barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang bagi tempoh sepanjang tahun 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan itu meningkat sekitar 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, 70.4 peratus, dan 64.7 peratus pada 2021.

Iklan
Iklan

Menurutnya, statistik itu diukur menerusi Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah (ICTHS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Aktiviti itu didorong penggunaan internet dalam kalangan masyarakat yang kekal tinggi iaitu 97.7 peratus bagi tahun sama,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan Survei Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan (ICTEC 2023) pula, sebanyak 78,236 pertubuhan yang terlibat dalam transaksi platform itu telah direkodkan daripada keseluruhan 1,091,867 pertubuhan pada tahun 2022.

"Pendapatan melalui transaksi e-dagang di Malaysia mencapai nilai RM1.12 trilion pada tahun 2022 berbanding RM398.2 bilion pada 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan 16.0 peratus,” jelasnya.

Iklan

Mohd Uzir menjelaskan pendapatan e-dagang di negara ini sebahagian besar didorong oleh pasaran tempatan berjumlah RM1 trilion manakala pasaran antarabangsa menyumbang RM123.4 bilion pada 2022.

"Perbelanjaan e-dagang di Malaysia didominasi oleh pasaran tempatan sebanyak RM494.2 bilion, manakala pasaran antarabangsa RM37.5 bilion,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Ahad mendapati pembelian dalam talian semakin menjadi pilihan utama golongan bujang dengan purata perbelanjaan sekitar RM300 sebulan dan sekurang-kurangnya tiga kali transaksi dalam tempoh tersebut.

Pembantu kedai, Anisa Hanna Noorzan, 22, berkata, dia biasanya membelanjakan antara RM100 hingga RM300 sebulan untuk membeli produk penjagaan kulit melalui platform e-dagang.

"Jumlah tertinggi yang pernah saya belanjakan dalam sebulan ialah sekitar RM1,000 untuk persiapan Hari Raya.

"Kebanyakan perbelanjaan dalam talian adalah untuk makanan kerana saya sering membuat pesanan menerusi Foodpanda, GrabFood atau ShopeeFood ketika bekerja,” katanya.

Menurut Anisa, faktor utama mendorongnya memilih pembelian dalam talian adalah harga yang jauh lebih murah berbanding di pusat beli-belah.

"Penjual dalam talian tidak perlu membayar sewa kedai, jadi harga barang jauh lebih murah. Contohnya, produk penjagaan kulit dari Korea boleh mencecah sehingga RM80 di kedai fizikal walhal produk sama dalam talian RM50 sahaja.

"Itu belum termasuk pelbagai tawaran menarik seperti baucar dan diskaun yang menjadikan harga lebih rendah daripada harga asal. Selain menjimatkan wang, ia juga lebih mudah dan cepat,” kata beliau.

Pereka grafik, Mohd Syafiq Zulkifli, 29, pula berkata, perbelanjaannya banyak tertumpu kepada barangan penjagaan diri seperti pencuci muka, pakaian serta keperluan perniagaan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan.

"Memandangkan saya tinggal bersendirian, sebahagian besar perbelanjaan digunakan untuk membeli makanan. Perbelanjaan secara dalam talian lebih mudah kerana hanya perlu membuat pesanan dan menunggu barang dihantar tanpa perlu ke kedai.

"Lebih menarik, terdapat pilihan pembayaran secara ansuran sehingga tiga bulan tanpa sebarang caj tambahan sekali gus membantu mengurus kewangan dengan lebih fleksibel,” ujarnya.

Dalam pada itu, pembantu jualan, Nurfahana Mazlan, 22, membelanjakan sekitar RM100 hingga RM150 sebulan untuk pembelian dalam talian terutamanya melalui platform Shopee dan TikTok.

"Jumlah tertinggi yang pernah saya belanjakan dalam sebulan adalah sekitar RM400 hingga RM500.

Saya juga membeli barangan rumah seperti keperluan mandian dan rak baju di platform tersebut kerana lebih banyak pilihan menarik ditawarkan.

"Saya lebih gemar membeli secara dalam talian kerana kemudahan pembayaran ansuran seperti SpayLater yang dapat membantu mengurus aliran tunai bulanan.

Pembelian dalam talian juga membolehkan saya melihat pelbagai pilihan produk tanpa perlu pergi dari satu kedai ke kedai lain,” katanya.