TAPAH – Razman Zakaria, yang sebelum ini dilaporkan telah direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak, dijangka mula aktif pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bulan depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu akan ditugaskan untuk menjaga Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi kawasan DUN tersebut.
"Razman ada terlibat dalam jawatankuasa jentera pilihan raya sebagai timbalan dan akan menjaga satu PDM.
"Bukan beliau sahaja, kesemua 26 wakil rakyat (PN), termasuk ahli Parlimen, akan menjaga setiap PDM," katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran Jentera PN PRK DUN Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Razman kini berada di Makkah ketika ditanya mengenai ketiadaannya dalam majlis tersebut. Razman juga merupakan Ketua Pembangkang DUN Perak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman telah direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Keputusan tersebut didakwa dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat susulan beberapa isu yang melibatkan pemimpin itu, termasuk kes terbaru yang mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Tugas Pesuruhjaya Pas negeri kini dipangku oleh Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.