PRK DUN Ayer Kuning: Calon PN dimuktamadkan selepas 20 Mac

Iklan
Muhammad Sanusi berucap pada pelancaran Jentera PN PRK DUN Ayer Kuning di Tapah pada Sabtu.

TAPAH – Senarai calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hanya akan dibincangkan minggu depan oleh pucuk pimpinan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai panjang calon telah diterima melibatkan setiap sayap parti untuk diteliti.

Iklan
Iklan

"Kita ada banyak senarai calon, tetapi senarai pendek belum ada lagi. Perkara ini belum dimuktamadkan, ia akan dibincangkan pada 20 Mac ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Jentera PN PRK DUN Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini pada Sabtu.

Iklan
Lebih 500 ahli jentera PN hadir pada pada pelancaran Jentera PN PRK DUN Ayer Kuning di Tapah pada Sabtu.

Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ditanya mengenai kriteria calon, Muhammad Sanusi mengesahkan bahawa calon yang akan mewakili parti itu dipilih dalam kalangan anak tempatan.

Iklan

"Calon tempatan... takkan saya pula bertanding di sini. Kita ada pemuda, wanita, tua dan muda yang akan dipertimbangkan sebaik-baiknya.

"Kita pun sudah melalui pilihan raya puluhan tahun, parti ada pengalaman memilih calon," ujarnya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.