Tersalah ambil bagasi, pelancong terkejut temui 24 kg ganja

Iklan
Sepasang pelancong terkejut selepas secara tidak sengaja mengambil bagasi yang salah di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand, hanya untuk mendapati ia mengandungi 24 kilogram (kg) ganja di dalamnya. Foto: Heng On Tour

BANGKOK – Sepasang pelancong Thailand terkejut selepas secara tidak sengaja mengambil bagasi yang salah di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand setelah mendapati ia mengandungi 24 kilogram (kg) ganja di dalamnya.

Kejadian tersebut dikongsi oleh seorang pemandu pelancong, Heng On Tour, menerusi Facebook pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pasangan itu dipercayai menaiki penerbangan domestik dari Surat Thani ke Bangkok menerusi Vietjet Airlines sebelum dijadualkan terbang ke Lapangan Terbang Narita, Jepun.

Menurut Heng On Tour, perjalanan itu dirancang oleh anak perempuan pasangan itu kerana ia merupakan kali pertama mereka ke luar negara.

Iklan

"Mereka membawa dua bagasi berwarna merah dan hitam. Namun, setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, mereka tersalah ambil bagasi hitam milik penumpang asing.

"Pemilik asal bagasi itu menyedari kehilangan begnya dan segera melaporkannya kepada pihak lapangan terbang. Kakitangan lapangan terbang cuba menghubungi nombor yang didaftarkan pada bagasi yang tidak dituntut milik pasangan itu.

Iklan

"Namun, nombor itu milik anak perempuan pasangan tersebut dan ia tidak berjawab ketika itu. Pasangan itu menunggu di lapangan terbang selama empat jam tanpa membuka bagasi tersebut kerana menyangka ia milik mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Heng On Tour berkata, setibanya di Lapangan Terbang Narita, mereka cuba mengambil barang keperluan dalam bagasi hitam tersebut dan terkejut apabila mendapati bagasi itu tidak dapat dibuka.

Jelasnya, pasangan itu segera menghubungi anak perempuan mereka, yang kemudiannya meminta mereka memeriksa tag bagasi berkenaan.

"Sedar bahawa tag bagasi itu bukan kepunyaan mereka, akhirnya mereka membuka bagasi secara paksa dan menemui 24 kg ganja kering di dalamnya. Penemuan itu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang.

"Siasatan dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang oleh pihak kastam Jepun dan pegawai mendapati pasangan itu tidak berniat untuk menyeludup dadah ke Jepun.

"Pasangan itu akhirnya dibenarkan memasuki Jepun dengan selamat pada jam 5.50 petang. Namun, mereka terpaksa mengubah rancangan asal untuk menginap berhampiran Gunung Fuji dan mencari penginapan berdekatan lapangan terbang akibat kejadian itu,” ujarnya.

Heng On Tour turut mempersoalkan tahap keselamatan di lapangan terbang dan hairan bagaimana dadah seberat itu boleh melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Surat Thani.

"Bagaimana ia tidak dapat dikesan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi sebelum diangkut sehingga ke Narita?” katanya.

Walaupun berdepan pengalaman yang mencemaskan, beliau bersyukur kerana pasangan itu akhirnya dibenarkan masuk ke Jepun tanpa sebarang masalah lanjut.