THAILAND - Seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah asid ke atas seekor anjing yang sedang tidur selepas bertengkar dengan isterinya.
Menurut pemilik anjing itu, Matichon, 39, dia pulang ke rumah dan mendapati anjingnya, Zubo, dalam keadaan ketakutan dengan kulit di bahagian belakang kanan melecur teruk.
Matichon kemudian berdepan dengan abang iparnya, 48, selepas dimaklumkan oleh saudara-mara mengenai kejadian tersebut.
Saksi di tempat kejadian mendakwa, lelaki tersebut bertengkar dengan isterinya kerana cemburu sebelum kejadian itu berlaku.
Selepas isterinya keluar dari rumah, lelaki itu bertindak menyimbah asid ke atas Zubo yang ketika itu sedang tidur di hadapan rumah.
Menurut temu bual Matichon bersama media tempatan, dia mendakwa abang iparnya pernah mengugut untuk menyimbah asid ke atas kakaknya jika tidak taat.
"Zubo menjadi mangsa sebagai contoh ancaman yang mungkin berlaku jika isterinya melawan.
"Ya, serangan itu menyebabkan kecederaan serius pada bahagian belakang Zubo dan ketika Zubo cuba menjilat luka, ia turut mencederakan lidahnya kerana kesan asid yang masih ada pada kulit.
"Keadaan itu menyebabkan Zubo mengalami kesakitan sehingga tidak mampu minum susu yang diberikan oleh jiran,” katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Matichon membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan dengan bantuan pihak berkuasa, Zubo dibawa ke sebuah klinik veterinar tempatan untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, Zubo akan ditempatkan di klinik tersebut sehingga pulih daripada kecederannya.