SHAH ALAM – Seorang wanita cekal menjaga adik bongsunya yang hanya mampu terlantar di atas katil akibat kemalangan jalan raya yang berlaku kira-kira 13 tahun lalu.
Menurut NoorFarleny Mohamad Nor, 43, kemalangan itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam terhadap adiknya, NoorHidayah, yang kini terbaring kaku dan kehilangan tempurung kepala, malah turut meragut nyawa kedua-dua ibu bapa mereka sebulan selepas kejadian.
"Hanya ALLAH SWT yang tahu betapa remuknya hati melihat keadaan adik dan kedua-dua arwah ibu bapa saya ketika kemalangan.
"Insiden itu berlaku sewaktu mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke rumah di Taiping dari rumah saya di Ipoh, Perak.
"Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma masih terbayang-bayang keadaan mereka bertiga sewaktu kemalangan itu berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
NoorFarleny memaklumkan, nahas tersebut menyebabkan NoorHidayah tidak mampu bergerak dan bertutur akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Susulan itu, dia nekad berhenti kerja untuk menjaga adiknya secara sepenuh masa dan tidak pernah menyesali keputusan tersebut.
"Kemalangan itu menyebabkan adik saya koma selama lebih sebulan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira empat bulan.
"Doktor tidak meletakkan harapan tinggi kerana keadaannya sangat kritikal, namun dengan izin ALLAH SWT, dia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
"Adik juga tiada tempurung kepala dan tidak boleh menguruskan dirinya sendiri.
"Walaupun begitu, dia masih memerlukan penjagaan rapi. Dia sudah tidak boleh bercakap seperti dahulu, tetapi masih dapat memahami perbualan,” ujarnya.