KAMPAR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui mati dalam sebuah longkang di Jalan Kampar-Tapah berhadapan sebuah tapak perkuburan di sini, awal pagi Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Izrul Husin, 42, yang hilang sejak Khamis, ditemui dalam keadaan tersangkut dalam longkang terbabit bersama sebuah motosikal jenis SYM.
Kehilangan mangsa disedari rakannya yang sedang melakukan pencarian selepas dia tidak pulang ke rumah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.25 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa ditemui di dalam longkang sedalam 1.2 meter bersama sebuah motosikal dipercayai miliknya.
"Tindakan operasi dilakukan dengan melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, keadaan mangsa masih sempurna, namun kecederaan yang dialami tidak dapat dipastikan kerana dia dilaporkan hilang sejak Khamis.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.52 pagi.