Dua remaja istimewa teruja ‘shopping raya’

Iklan
Muhammad Daniel Asyraf (dua dari kiri) dan Nur Fatahul Ashikin (dua dari kanan) masing-masing dibantu Dexter (kiri) dan Redonah (kanan) mencuba pakaian baharu yang dibeli di sebuah pasar raya di Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Dua remaja istimewa tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka apabila diberi peluang memilih sendiri pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri menerusi program Shopping Raya di sebuah pasar raya di Likas, pada Ahad.

Muhammad Daniel Asyraf Syazwan, 16, dan Nur Fatahul Ashikin Andrio, 17, antara 24 kanak-kanak serta remaja dari golongan asnaf dan yatim piatu di bawah jagaan Rumah Amal Kasih yang terpilih untuk membeli-belah sempena sambutan Hari Raya tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurut Muhammad Daniel Asyraf, dia mahu mencari pakaian untuk kegunaan harian kerana persiapan Hari Raya sudah diselesaikan lebih awal.

"Saya sudah beli baju raya sebelum ini, warna merah jambu. Tahun-tahun sebelum ini saya pakai warna lain, jadi tahun ini saya cuba warna baharu. Hari ini saya cuma mahu beli baju biasa saja.

Iklan

"Saya juga bercadang mungkin mencari pakaian sukan memandangkan bulan depan saya akan mewakili sekolah bagi sukan paralimpik untuk boling padang di Tawau," katanya yang juga atlet paralimpik di sekolahnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas itu turut berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih untuk membeli-belah dan mendapatkan pakaian baharu.

Iklan

"Saya tinggal di Rumah Amal Kasih sejak berusia 12 tahun kerana datuk tidak berkemampuan untuk membesarkan kami dua beradik.

"Sejak itu, sambutan Hari Raya terasa hambar, namun saya bersyukur masih ada insan prihatin yang sudi menghulurkan bantuan dan menceriakan hari kami," katanya yang mengalami masalah kaki kanan tempang.

Sementara itu, Nur Fatahul Ashikin, yang buta pada mata kanan serta mengalami kesukaran bertutur dan berkomunikasi akibat Cerebral Palsy, turut berkongsi kegembiraannya apabila diberi peluang memilih pakaian sendiri untuk Hari Raya.

"Seronok dan gembira hari ini, saya dapat dua baju raya dan akan bawa beraya di kampung halaman di Semporna nanti," katanya.

Menurut penjaga Rumah Amal Kasih, Noraisyah Ayub, dua remaja itu merupakan antara penghuni yang telah mendapat penjagaan di rumah kebajikan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

"Nur Fatahul Ashikin merupakan anak yatim di bawah jagaan kami sejak berusia 12 tahun, dan ketika itu dia masih belum boleh bercakap. Tetapi kini, dia sudah boleh berkomunikasi dengan rakan-rakannya.

"Alhamdulillah, hari ini mereka dibawa untuk membeli-belah memandangkan dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Raya," katanya.

Program anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah dengan kerjasama Kim Teck Chong (KTC) ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Jelajah Iftar KTC, di mana kawasan Parlimen Kota Kinabalu menjadi destinasi kesembilan sepanjang Ramadan tahun ini.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda dan Pengerusi KTC, Datuk Dexter Lau.