SHAH ALAM – Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini dapat menangani kemuraman ekonomi global dan cabaran ekonomi yang terkesan akibat wabak Covid-19.
Menurut 11 bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan, mereka turut mendukung sepenuhnya Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan Dr Mahathir.
"Ketiga-tiga strategi yang menunjangi pakej rangsangan ini bukan sahaja dapat menangani impak Covid-19 ke atas perniagaan dan isi rumah yang terjejas, malah berperanan penting bagi memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
"Pendekatan yang diambil menerusi pakej rangsangan ini akan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan dan individu terkesan, terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengeksportan.
"Langkah seperti penundaan ansuran cukai, penyediaan diskaun sementara, bantuan pinjaman dan pemberian bayaran one-off serta elaun khas sudah tentu dapat meringankan beban bagi mereka yang memerlukan,” katanya malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir umum RM20 bilion pakej rangsangan ekonomi
Turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Dalam pada itu, menurut kumpulan berkenaan, pelaksanaan oleh kerajaan dan institusi kewangan secara proaktif serta berterusan bukan sahaja dapat menjamin bantuan yang disampaikan berkesan kepada perniagaan dan isi rumah yang terbabit, malah pakej rangsangan itu juga akan mengukuhkan asas ekonomi negara bagi menggalakkan pelaburan berkualiti.
"Kami yakin usaha kerajaan ini bakal mengembalikan keyakinan masyarakat perniagaan dan pelabur terhadap ekonomi negara serta mencetuskan pertumbuhan baharu dalam menghadapi cabaran genting daripada senario ekonomi global dan impak Covid-19.
"Justeru, kami komited kepada agensi kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat dan kami mengajak semua untuk terus mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan RM20 bilion sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi mengurangkan impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan Covid-19.
Dr Mahathir berkata, pakej itu ditunjangi oleh tiga strategi iaitu menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.