BANDAR TENGGARA - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menganjurkan Majlis Iftar Ramadan Parlimen Tenggara Tahun 2025 bertempat di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Bandar Tenggara, Johor.
Majlis yang dihadiri seramai 300 peserta pada Sabtu dijayakan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Tenggara.
Menurut Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, pihaknya menerusi Yayasan RISDA berbesar hati menyumbang sebanyak RM10,000 bagi menyantuni anak-anak yatim di pusat tersebut.
"Selain itu, Yayasan RISDA mengedarkan 30 unit bakul makanan kepada golongan asnaf yang turut serta dalam majlis ini,” katanya ketika menyempurkan Majlis Iftar Ramadan Parlimen Tenggara Tahun 2025.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pengisian kerohanian seperti penyampaian tazkirah oleh wakil pegawai daripada Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi dan persembahan qasidah daripada Sekolah Tahfiz An-Nur Bandar Tenggara.
Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Johor, Muhd Khairuddahri Rahman; wakil rasmi kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Saharuddin Mohd Yunus dan Yang Dipertua Rumah Anak-Anak Yatim Bandar Tenggara, Baharuddin Md Sham.
Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, pejabat Parlimen tersebut turut menyumbangkan kelengkapan rumah anak yatim seperti meja, kerusi, khemah dan karpet yang bernilai RM23,000.
Tambah beliau, pihaknya juga mengagihkan sumbangan program khatam al-Quran melibatkan ibu tunggal dan sumbangan Aidilfitri bagi anak yatim Bandar Tenggara.
"Selain itu, pelbagai lagi sumbangan disampaikan dalam majlis ini termasuklah sumbangan peralatan kepada Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Tenggara berupa televisyen.
"Turut disumbangankan program bubur lambuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Tinggi, bantuan bayaran bil utiliti Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Bandar Tenggara dan bantuan pendaftaran persekolahan pelajar orang asli Bandar Tenggara,” jelasnya.
Beliau turut menyeru warga Parlimen Tenggara untuk menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang mulia dengan memperbanyakkan amal ibadah, menyemarakkan alunan al-Quran dan mengimarahkan masjid pada terutamanya ketika solat tarawih.
"Bulan Ramadan ini merupakan bulan terbaik bagi setiap warga Tenggara dalam memperkasakan amalan ibadah, dalam masa sama mempereratkan ukhwah dan tali persaudaraan sesama masyarakat di kawasan ini,” ujar beliau.
Manndzri turut menyatakan komitmen bagi memastikan program yang memberikan manfaat kepada seluruh komuniti Parlimen Tenggara seperti ini diperluaskan lagi pada tahun-tahun akan datang di lokasi yang berbeza dalam Parlimen Tenggara.