[VIDEO] Peniaga 'geng plastik hitam' COD nasi bungkus ke rumah pelanggan

Iklan

SUNGAI PETANI - Nasi bungkus dihantar terus ke rumah pelanggan antara taktik terbaharu dilakukan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terhadap kaki ponteng puasa pada Ramadan.

Ketua Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda, Shuib Ismail@Yusuf berkata, serbuan Ops Plastik Hitam ke atas sebuah premis di Tikam Batu mendapati peniaga menyediakan perkhidmatan bungkus dan hantar makanan yang diletakkan dalam plastik hitam kepada pelanggan biarpun ketika itu baru menunjukkan jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa serbuan, dua penghantar makanan juga sudah sedia menunggu 'tugasan' mereka mengikut tempahan ke sekitar kawasan itu.

"Ketika diserbu mendapati, peniaga sedang membungkus nasi yang ditempah, terdapat pelbagai jenis lauk dan minuman yang siap dibungkus, dua lelaki juga mengaku sebagai 'runner' dan akan buat urus niaga secara hantaran (COD) kepada pelanggan," katanya.

Iklan
Anggota penguat kuasa menunjukkan air minuman dan makanan yang siap dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggan.

Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan dikatakan bertempiaran lari ke arah belukar di belakang premis dan ada yang sempat menaiki kenderaan sebelum berlalu pergi sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa bagi mengelak ditahan.

Jelasnya, lima individu diberi notis mengikut Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

Iklan

Operasi turut mendapat kerjasama PAD Yan dan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) serta Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Dalam pada itu, MPSPK turut mengeluarkan kompaun kerana tidak mempamerkan lesen perniagaan berdasarkan Undang-undang Kecil (UUK) 3, tidak mematuhi arahan suntikan pelalian pengendali makanan mengikut UUK 38 dan kompaun bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana menjalankan perniagaan sebelum jam 3 petang pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, jelasnya, semakan dibuat mendapati premis berkenaan pernah diserbu sebelum ini atas kesalahan sama namun tetap ingkar arahan yang dikenakan.

Tinjauan mendapati, kedudukan premis yang agak terlindung dengan hanya beroperasi melalui pintu belakang mungkin menyebabkan kawasan itu menjadi port kaki ponteng puasa.