KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Sapu di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada Sabtu.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, operasi sekitar jam 2 pagi itu pihaknya berjaya menahan 15 lelaki, sembilan wanita dan dua remaja lelaki warga Indonesia.
"Kesemua remaja terbabit ditahan bersama-sama ibu dan bapa masing-masing.
"Turut ditahan dua warga India, Bangladesh (4) dan Myanmar (3) dimana kesemuanya adalah lelaki," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, mereka berusia lingkungan 26 hingga 58 tahun, manakala bagi remaja pula antara 13 hingga 17 tahun.
Ujarnya, kesemua PATI terbabit ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/63.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, pihaknya menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau sebarang aktiviti PATI yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI," katanya.