KUCHING - Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar surat berhubung permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, surat berkenaan dihantar oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat lalu dan baharu sahaja menerimanya.
Beliau akan meneliti kandungan surat berkenaan dan memberi maklum balas segera.
"Selepas meneliti dan mendapat panduan, saya akan respon tetapi tidak perlulah dibincangkan di media," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya Ramadan di Auditorium Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Telaga Air, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Takiyuddin memberitahu akan menghantar surat kepada kerajaan Pusat selewat-lewatnya minggu lalu bagi membincangkan peruntukan ahli Parlimen pembangkang.
Takiyuddin berkata, pihaknya mahu mendapatkan perincian oleh kerajaan khususnya yang dimaksudkan oleh Fadillah.
Menurut beliau, Fadillah sebelum ini memaklumkan boleh berbincang dan menubuhkan jawatankuasa perundingan.
Mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sudah dipertimbangkan kerajaan, Fadillah enggan menjelaskan bila ia akan mula disalurkan.
Minggu lalu, Fadillah berkata, isu peruntukan Ahli Parlimen Muar akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, Syed Saddiq secara prinsip telah menyatakan persetujuan bagi syarat-syarat ditetapkan kerajaan.